Pages

Monday, 14 January 2013

Revolusi Perancis Mencetuskan Pergerakan Kesedaran (Part 1)


Assalamualikum
Pada umumnya, ahli sejarah amat sering menganggap Revolusi Perancis sebagai satu titik sejarah yang penting dalam perkembangan masyarakat Barat. Ia dianggap lebih penting daripada Revolusi Amerika (1776) dan Revolusi Inggeris (1688) sebagai satu garis pemisah di antara peraturan lama dan peraturan baru, yakni dengan berlakunya Revolusi Perancis maka feudalisme dikatakan telah diganti oleh sistem masyarakat terbuka. 

Dalam sistem feudal kedudukan seseorang itu adalah berlandaskan hak, kuasa dan keistimewaan yang diwarisi secara turun-temurun. Walhal, dalam sistem masyarakat terbuka segala kejayaan yang bakal dipeolehi oleh seseorang itu bergantung kepada bakat dan kemampuannya. Revolusi Perancis juga dikatakan sebagai peringkat kemerosotan pengaruh dan kedudukan agama dalam sistem pemerintahan dan pemikiran. Sebaliknya, pengaruh pemikiran dan falsafah yang menegaskan atau menyanjungi sepenuhnya, keupayaan akal manusia mula bertapak dan membiak. Kini akal diberikan peranan utama untuk menentukan matlamat dan nilai kehidupan. Seterusnya, benih yang kemudiannya membuahkan ideologi moden seperti komunisme, fasisme atau totalitarianisme juga mula dikatakan tertanam.

Dalam memperkatakan sebab yang membawa kepada pencetusan Revolusi Perancis, kesan yang ditimbulkan oleh penyebaran idea baharu merupakan suatu faktor yang amat pokok kepada perbincangan. Pergerakan yang mempelopori idea baharu ini dikenali sebagai Englightenment atau Kesedaran. Pergerakan ini disifatkan sebagai satu revolusi intelektual dan dikaitkan dengan nama ahli fikir seperti Descartes, Voltaire, et.all., di Perancis, Gibbon dan Hobbes di England, Lessing, Spinoza dan Kant di Jerman, Franklin dan Jefferson di Amerika serta beberapa orang tokoh lain termasuk yang di Rusia dan Itali.

Zaman Kesedaran ini dibahagikan kepada tiga tahap. Tahap pertama atau permulaannya mulai lahir dan pengeseran di antara para pendukungnya dengan pihak pemerintah mula berlaku dan meningkat. Tahap kedya ialah di antara tahun 1746 dan 1770 apabila karya-karya utama pergerakan ini dihasilkan. Pada tahap ini juga konflik di antara golongan Kesedaran ini dengan pihak pemerintah tiba ke puncaknya. Pada tahap akhir di antara tahun 1770 sehingga 1790, berlakunya penyebaran idea ini sehinggalah ia dikatakan telah membantu mengakibatkan perubahan politik dan sosial yang hebat-misalnya, Revolusi Perancis 1789.

Pergerakan Kesedaran ini dilihat sebagai ekoran kepada revolusi yang berlaku dalam bidang sains asas sebelumnya. Ahli sains sepperti Francis Bacon (1561-1626), Galileo (1564-1642) dan Newton (1642-1727), telah dianggap sebagai tokoh ikutan para pendukung pergerakan Kesedaran. Mereka dianggap sebagai para saintis yang membawa perubahan kepada ilmu sains Zaman Pertengahan sehingga terbentuknya pengetahuan ilmu sains moden yang berasaskan kepada pengumpulan data yang konkrit. Kebenarannya segala sesuatu itu kemudiannya boleh disahkan melalui ujikaji.

Harapan para saintis pada masa itu ialah untuk membolehkan manusia mengawal alam semulajadi mereka dan membentuk satu kehidupan yang lebih baik. Harapan ini juglah yang telah dirasakan bersama oleh pendukung pergerakan Kesedaran. Apa yang ingin dilakukan oleh pemikir sains adalah untuk mencari peraturan kehidupan yang dianggap memang sudah sebenarnya wujud dan bukannya untuk menghasilkan peraturan baru bagi masyarakat manusia.




No comments:

Post a Comment

Terima Kasih lepak kejap kat sini
Sila Tinggalkan komen, Insha Allah saya reply.
Kalau korang suka klik 'like' ja