Pages

Monday, 14 January 2013

Allah Menanti Doa Mu Di Malam Sepi


Assalamualikum

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : " Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan doamu untuk kamu."



Allah akan memberikan apa sahaja yang diminta oleh setiap manusia. Oleh itu dianjurkan kepada manusia, ketika dia memiliki keperluan, agar melutut (merapakkan) diri dengan merendah diri kepada Allah memohon apa yang diinginkannya dengan merintih dan bermunajat dengan penuh khusuk.

Doa merupakan tanda pergantungan, pengharapan dan permohonan kita kepada Allah. Firman-Nya dalam surah Ghafir atau Mukmin (40) ayat ke-60 : " Dan Tuhan kamu berfirman : Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadah dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina."

Allah sentiasa berada terlalu hampir dengan hamba-hamba-Nya yang berdoa. Hal ini dapat dilihat dalam firman Allah dalam surah al-Baqarah (2) ayat 187: Maksudnya : "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanyakan kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka), Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka sentiasa berada dalam kebenaran.

Dalam surah al-A'raf (7) ayat ke-180 : Maksudnya : "Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu dan pulaukanlah orang yang berpaling daripada kebenaran dalam masa menggunakan nama-nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan."

Rasulullah s.a.w bersabda : "Doa itu adalah ibadah, Allah swt berfirman : "Berdoa kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan untuk kamu." (Riwayat Abu Daud no. 1479, al-Tirmizi no.3247, Sahih al-Jamri'al-Saghir no. 3407).

Menurut Nabi s.a.w, Allah s.w.t berasa malu jika menolak permintaan hamba-Nya yang memohon kepada-Nya, sebagaimana sabda Nabi s.a.w. : "Sesungguhnya Tuhan kamu yang Maha Suci lagi Maha Tinggi itu sangat pemalu lagi mulia. Dia malu terhadap hamba-Nya yang mengangkat tangan berdoa, tiba-tiba tidak diberi-Nya permintaan itu." (Riwayat Abu Daud no. 1488 dan al-Tarmizi no. 3556.

Kemudian, berkata Hukama menggambarkan perkara ini : "Allah s.w.t murka jika engkau tidak memohon kepada-Nya. Sebaliknya, manusia menjadi murka, apabila engkau memohon kepada-Nya". (Dipetik dari Kitab Al-Du'a susunan Husain al[Awa'isyah. halaman 6).

Daripada ayat-ayat dan hadis-hadis di atas, dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa pentingnya doa merupakan ibadah. menerusinya, seseorang hamba Allah mampu menggamit rahmat Allah agar dikurniakan kepadanya.

Oleh yang demikian, sekiranya anda ada masalah dan keperluan, mohon lah kepada Allah. Tetapi kebiasaannya anda akan datang kepada manusia mengadu dan memohon pertolongan agar mereka menyelesaikan masalah dan keperluan anda, dan kenapa anda tidak datang mengadu dan memohon kepada Allah s.w.t?

Kenapakah, jika anda ada masalah, ketika malam sunyi sepi anda akan datang mengetuk pintu rumah manusia dan kenapa tidak anda pergi ke rumah (masjid) Allah mengetuk pintu-Nya, bagaimana boleh jadi demikian?

Wahai saudaraku yang tercinta..! Saya merasakan bahawa anda telah bertemu gudang kemuliaan. Sesungguhnya gudang kemuliaan itu telah ada di hadapanmu, akan tetapi anda terhalang dari kemuliaan tersebut, sebab anda tidak mahu memohon kepada Allah. Mulai dari sekarang bersungguh-sungguhlah untuk mendapatkannya, jangan hanya sekadar memandangnya sahaja, tetapi berusaha mendapatkannnya, kemudian memohon agar Allah jayakannya melalui solat Hajat.

Wahai saudaraku yang tercinta..! Jika anda telah bersedia untuk bertemu dengan Allah di tengah malam sunyi sepi untuk memohon sesuatu hajat anda, maka lakukanlah solat Sunat Hajat dua rakaat. Sebaik-baiknya dilakukan sewaktu tengah malam sunyi sepi. Kerana ketika itu tiada sesiapa kecuali anda dengan Tuhan yang sedang berdialog dan bermunajat dengan-Nya.





Sumber : Solat Malam : Menggamit Kedamaian. Oleh : Syeikh Amru Khalid & Syeikh Sulaiman bin Nasih  aL-Ulwan.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih lepak kejap kat sini
Sila Tinggalkan komen, Insha Allah saya reply.
Kalau korang suka klik 'like' ja