Pages

Monday, 14 January 2013

Perang Vietnam 1957-1975



Assalamualaikum


Perang Vietnam kedua berlaku diantara tahun 1957 sehingga tahun 1975. Peperangan ini merupakan sebahagian daripada Perang Dingin diantara dua kubu ideologi besar iaitu Komunis dan Liberal. Perang Vietnam kedua merupakan rentetan daripada Perang Vietnam Pertama. Terdapat dua ideologi yang memainkan peranan yang berbeza yang membawa kepada peperangan tersebut antaranya melalui pembahagian Vietnam kepada dua iaitu Vietnam Utara (DRV) dan Vietnam Selatan (RVN).


Vietnam Selatan disokong oleh Amerika Syarikat, Australia, Korea Selatan, Thailand dan Filipina. Manakala, Vietnam Utara dipimpin oleh USSR (Union of Soviet Socialist Republics) iaitu sebuah negara komunis. Pembahagian Vietnam kepada dua bahagian hanyalah sementara sahaja seperti apa yang ditetapkan dalam Perjanjian Geneva 1954 bagi menunggu keputusan satu pilihan raya bagi memilih ketua negara yang bakal diadakan pada tahun 1956.

Menjelang tahun 1957, telah meletus Perang Indochina Kedua. Dalam tahun ini juga, Ho Chi Minh telah melancarkan kempen untuk memusnahkan kumpulan anti revolusioner di Vietnam Utara. Disebabkan dasar kerajaan Vietnam Utara ini,  kerajaan Ngo Dinh Diem enggan berbincang mengenai pilihan raya yang ditetapkan. Keputusan tersebut telah disokong oleh Amerika Syarikat yang risau akan kemenangan pihak komunis. Ngo Dinh Diem juga mempersoalkan kewibawaan pilihan raya yang diuruskan oleh kerajaan Vietnam Utara. Disebabkan Ngo Dinh Diem tidak pernah menandatangani Perjanjian Geneva yang telah ditandatangani oleh bekas maharaja Bao Dai maka Ngo Dinh Diem merasakan bahawa tidak salah sekiranya kerajaan beliau tidak mematuhi peraturan Perjanjian Geneva.

Sememangnya pihak komunis juga telah bersedia untuk menyerang Vietnam Selatan sebelum Perjanjian Geneva ditandatangani lagi namun mereka bercadang untuk melancarkannya apabila penyatuan tidak dapat dicapai iaitu, jika tidak memperolehi kemenangan dalam pilihan raya. Hal yang demikian menyebabkan Ho Chi Minh memberikan perintah agar beribu-ribu agen komunis masuk ke Vietnam Selatan dan menyediakan tempat persembunyian bagi menyimpan senjata. Ngo Dinh Diem juga telah melancarkan kempen bagi mengecam komunis pada tahun 1955 dan mereka akan ditahan serta dibunuh.

Tambahan lagi pada penghujung tahun 1959, Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja Vietnam telah memberikan kuasa bagi perjuangan bersenjata di Vietnam Selatan. Ho Chi Minh juga telah menerima bekalan senjata dan peralatan lain daripada Kesatuan Soviet dan China melalui Pelabuhan Haiphong. Seterusnya peralatan ini telah dihantar kepada NLF dan Viet Cong di Vietnam Selatan. Hal ini menyebabkan Kerajaan Amerika Syarikat merasa tertekan kerana tidak berjaya menakluki kawasan Laos dan Kemboja.
Pada Disember 1960 pula, Barisan Pembebasan Kebangsaan NLF telah ditubuhkan oleh pihak komunis di kawasan Vietnam Selatan. Tujuannya adalah untuk menjatuhkan kerajaan Vietnam Selatan. Barisan Pembebasan Kebangsaan ini terdiri daripada dua kumpulan yang berbeza di Vietnam Selatan. Kemudian dalam tahun 1962, Vietnam Selatan sepertinya telah menang dalam menentang penjajah.

Pada tahun 1963 pula, berlaku pergaduhan secara besar-besaran di Ap Bac di antara Tentera Darat Republik Vietnam dengan pasukan Komunis di Vietnam Selatan. Tentera RVN mengalami kekalahan yang teruk berbanding dengan tentera Komunis. Pergaduhan ini telah menyebabkan berlakunya peningkatan tentera Komunis di Vietnam Selatan dan bekalan senjata yang diperolehi daripada Vietnam Utara. Hal yang demikian menyebabkan pihak Amerika Syarikat mulai berkeyakinan bahawa Presiden Diem tidak akan dapat menewaskan Vietnam Utara. Pihak Amerika Syarikat juga menganggap Presiden Ngo Dinh Diem akan membuat perjanjian dengan Vietnam Utara[1].

Menjelang tahun 1965, pihak Kemboja telah membuat pakatan dengan China dan Vietnam Utara bagi membolehkan tentera di kawasan Vietnam Utara menubuhkan pangkalan tentera yang tetap di Kemboja. Pelabuhan di Sihanoukville telah digunakan untuk menghantar senjata dan bekalan tentera.

Pada 14 Oktober 1968, Jabatan Pertahanan Amerika telah mengumumkan penghantaran 24,000 tentera ke Vietnam untuk tugasan yang kedua. Cadangan ini diterima dengan baik oleh Amerika Syarikat. Menjelang 31 Oktober 1968 pula, Presiden Johnson telah mengumumkan untuk memberhentikan semua pengeboman udara, laut dan darat ke atas Vietnam Utara. Hal yang demikian bertujuan untuk memujuk Vietnam Utara ke meja perundingan damai.

Pada 3 November 1969 pula, Amerika telah mengundurkan tenteranya dan hal ini secara tidak langsung melepaskan tanggungjawab pertahanan Vietnam Selatan kepada rakyat Vietnam Selatan itu sendiri. Hal ini dilakukan oleh Amerika Syarikat disebabkan sudah terdapat terlalu banyak korban dan kematian tentera-tentera Amerika di Vietnam. Maka Amerika Syarikat memindahkan tugas perjuangan kepada tentera Vietnam Selatan dalam proses yang dikenali sebagai Vietnamisasi. Usaha ini telah memberikan tindak balas yang bercampur aduk namun dengan adanya sokongan Amerika Syarikat maka Vietnam Selatan masih dapat bertahan.

Justeru itu, Perjanjian Damai Paris telah ditandatangani pada 27 Januari 1973 dan secara rasmi menamatkan penglibatan Amerika Syarikat di Vietnam. Perjanjian ini juga dilakukan bagi memperakui kekuasaan yang tinggi di kedua-dua pihak. Tawanan perang Amerika Syarikat mula dibebaskan oleh Vietnam Utara pada 11 Februari 1973. Tentera Amerika juga telah meninggalkan Vietnam pada 29 Mac 1973[2].

Walaupun demikian, namun peperangan yang kecil tetap juga berlaku dan telah berakhir. Vietnam Utara telah menceroboh dan secara langsung menundukkan Vietnam Selatan pada 30 April 1975. Vietnam Selatan juga telah menjadi Republik Vietnam Selatan iaitu sebuah negara yang berada di bawah kekuasaan tentera Vietnam Utara sebelum disatukan dengan Vietnam Utara di bawah pemerintahan Komunis sebagai Republik Sosialis Vietnam pada 2 Julai 1976.



            Analisis
Dalam melihat kepada beberapa siri peperangan yang berlaku di Vietnam ini timbul beberapa persoalan mengenai punca kemenangan Vietnam di bawah komunis dalam beberapa siri peperangan dengan penjajah asing dan sekaligus melihat peranan yang dimainkan dalam penglibatan kuasa luar seperti Amerika Syarikat dan Soviet Union dalam Perang Vietnam II. Peperangan yang berlaku berpunca daripada pembahagian Vietnam dalam Perjanjian Geneva 1954. Penganalisisan yang pertama adalah tentang sebab utama kemenangan Vietnam dari kuasa luar terutamanya Amerika Syarikat dan peranan Ho Chi Minh dan sekutunya Soviet.

Menyentuh mengenai bantuan dan campur tangan dalam gerakan komunis di Vietnam Selatan, Nguyen Huu Chinh menyatakan bahawa China telah menyokong perang anti-Amerika di Vietnam Selatan. China telah mengambil peluang dari gerakan revolusi di Indochina bagi mengukuhkan kedudukannya di wilayah Selatan China.

Dalam soal ini, gerakan komunis di Vietnam Selatan lebih mudah mendapat bantuan dari China. Ini disebabkan kedudukan geografi Vietnam Selatan lebih dekat dengan China . ini memudahkan perhubungan antara Komunis Utara (pusat pergerakan komunis yang bergerak di Vietnam Selatan ) dengan China.

Malah, Rusia juga terlibat dalam memberikan bantuan kepada Vietnam Utara. Selain dari bantuan kepakaran, latihan dan senjata untuk peperangan, Rusia turut membantu dari segi ekonomi. Misalnya, pada tahun 1955, Rusia telah memberikan bantuan sebanyak AS$90 juta. Vietnam Utara juga telah melancarkan satu “rancangan pembangunan tiga tahun” (1958-1960) dengan bantuan China dan Rusia. Bagi China dan Rusia, Vietnam Utara itu sendiri merupakan negara satelit bagi mereka dalam meluaskan pengaruh komunis.

Malah, kemenangan Ho Chi Minh dalam Perang Vietnam Kedua juga disebabkan kepimpinan dan kewibawaan Ho Chi Minhi yang tinggi. Menurut Philippe Devillers :
Ho Chi Minh telah memberikan ‘ciri-ciri Vietnam’ kepada Marxisme. Beliau adalah seorang patriot lebih dari segala-galanya. Beliau menggantikan Marxisme-Leninisme melalui nasionalisme dan patriotisme...Beliau membuktikan yang Marxisme-Leninisme adalah ‘bersesuaian’ dengan tanah air, kemerdekaan, kebebasan dan keadilan.”

Selain itu, Ho Chi Minh juga merupakan seorang yang bijak dan cekap dalam mengatur dan menyusun startegi perjuangan dan organisasi pertubuhan dalam Vietminh. Menurut Douglas Pike:
.....Ho Chi Minh proved for all time his unequaled talent for guile and ruthlessness as well as his organizational genius in political infighting.”

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih lepak kejap kat sini
Sila Tinggalkan komen, Insha Allah saya reply.
Kalau korang suka klik 'like' ja