Pages

Wednesday, 12 June 2013

Kuasa Solat Sunat Dhuha telah aku rasai sendiri...

Assalamualaikum

Alhamdulilah, syukur kepada Allah :) aku sudah dapat kerja sebagai pembantu tadbir secara sambilan. Walaupun bukan sebagai kerja tetap namun, aku rasa sangat bersyukur dan bertuah. Sejak beberapa hari lepas, fikiran ini tak lekang dari memikirkan soal kewangan, tambah-tambah lagi pada masa ini aku tengah sambung pelajaran dalam peringkat sarjana. Kewangan sangat diperlukan pada saat ini. Kadang-kadang rasa nak putus asa untuk sambung belajar..

Teringin untuk mendapatkan nasihat daripada orang-orang lain yang pernah mengalami yang sama seperti diri saat ini. Kuasa Allah tiada siapa yang mampu menghalang. Keadaan yang susah inilah aku hanya memohon dan meminta bantuan daripada Allah untuk mengurangkan bebanan yang aku tanggung dengan mengerjakan solat sunat Dhuha. Alhamdulillah, Allah perkenankan permintaan hamba-Nya. Tak lama selepas itu, aku mendapat mesej daripada pihak biasiswa MyBrain15 yang mengatakan bahawa permohonan untuk biasiswa tersebut telah aku dapat. Sekarang, semua yuran akan ditanggung oleh pihak biasiswa tersebut. Syukur alhamdulilah. Terima kasih ya Allah!!

Selepas dua minggu kemudian, aku dapat panggilan daripada Pejabat Pendidikan Daerah yang mengatakan aku mendapat kerja sebagai Pembantu Tadbir secara sambilan. Selepas dapat  kerja ini sekurang-kurangnya aku dapat menanggung perbelanjaan aku semasa belajar nanti dan sedikit sebanyak aku dapat bantu keluarga. Selepas perkhabaran tersebut, aku beritahu kat keluarga yang aku dah dapat kerja. Daripada riak wajah mereka, aku tahu mama aku gembira dan senang dengan berita tersebut. Sebab sebelum ini, mama aku sangat mengharap aku dapat kerja sebagai pembantu tadbir.


Hanya dengan lafaz syukur alhamdulilah hanya aku berikan kepada yang Maha Kuasa. Terima kasih Ya Allah kerana telah mendengar rintihan dan perkenankan doaku. Walaupun hamba-Mu ini selalu alpa daripada mengingati-Mu. Hanya Engkau yang selayak-layaknya disembah dan memohon keampunan. Allah...

                      __________________________________________________

Memohonlah kepada Allah.

Kehidupan kita bagaikan sungai yang mengalir dalam satu perjalanan yang panjang. Sepanjang perjalanan itu, kita menempuhi pelbagai pengalaman yang membentuk sejarah hidup kita. Kita menghadapi banyak tentangan sekaligus banyak bimbingan. Semua ini menjadikan kita sebagai manusia yang bersedia menghadapi segala persoalan. Akibat kesusahan dan himpitan hidup, ramai orang menjadi lesu dengan keadaan itu dan ramai yang tidak mampu memenuhi keperluan diri sendiri sehingga menyebabkan seseorang itu kepada kekufuran.

Tuhanmu berkata, ‘Berdoalah kepadaku, nescaya aku akan perkenankan. Sesungguhnya, orang yang sombong dan enggan menyembahku, kelak mereka memasuki nberaka jahanam dalam keadaan hina.” (Surah al-Mukmin, ayat 60)

Kita perlu jadikan ayat ini sebagai pegangan hidup. Setidak-tidaknya hati kita tidak terjebak dalam perasaan bimbang yang sering menghantui kita. Apabila kita menghadapi masalah besar yang membebankan dan menghimpit kita, mengadu dan berdoalah kepada Allah.

"Sesungguhnya sesudah kesusahan itu, ada kesenangan. " (Alam Nasyrah, ayat 5-6).

                      ____________________________________________________

Kerjakan Solat Dhuha secara Istiqamah.

Solat Dhuha yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan istiqamah mampu menhasilkan kekuatan dalam diri orang yang mengerjakannya. Disamping ia dapat membina motivasi ataupun semangat berkerja. Oleh itu, seseorang yang biasa menjalankan solat dhuha dan pada setiap hari, lupa mengerjakannya, dia berasa seperti ada sesuatu yang kurang ataupun tidak lengkap.

Bagi seseorang yang berada dalam kesusahan dan kebimbangan akibat terperangkap dalam kemiskinan, solat dhuha dapat membantunya. Apabila dia melaksanakan solat wajib dan solat sunat, khususnya solat dhuha dengan bersungguh-sungguh dan istiqamah, inshaAllah, Allah mengubah hidupnya daripada susah menjadi mudah.

" Solat dhuha itu mendatangkan rezeki dan menolak kemiskinan dan tia\dak ada orang yang memelihara solat kecuali orang yang bertaubat." (Hadis laporan Tarmizi)

                        ___________________________________________________

Doa selepas solat Dhuha

" Allaahumma, innadh dhuhaa-a dhuhaa-uka, wal bahaa-a bahaa-uka, wal jamaala jamaaluka, wal quwwata quwwatuka, wal qudrata qudratuka, wal 'ishmata 'ishmatuka. Allahumma, in kaana rizqii fis samaa-i fa-anzilhu, wa inkaana fil ardhi faakhrijhu, wa in kaana mu'siran fa-yassirhu, wa in kaana haraaman fa-thahhirhu, wa in kaana ba'iidan fa-qarribhbu, bihaqqi dhuhaa-ika, wa bahaa-ika, wa jammalika, wa quwwatika, wa qudratika, aatinii maa aataita 'ibaadakash shaalihhiin."

Maksudnya : " Ya Allah, bahawasanya waktu dhuha itu waktu dhuhamu, kebaikan itu kebaikanmu, keindahan itu keindahanmu, keuatan itu kekuatanmu, kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu. Ya Allah, sekiranya rezekiku masih di atas langit maka turunkanlah, sekiranya ia masih berada di dalam bumi keluarkanlah, sekiranya susah, permudahkanlah, sekiranya haram, sucikanlah dan sekiranya jauh dekatkanlah. Berkat waktu dhuhamu, keagunganmu, keindahanmu, kekuatanmu dan keuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh."






p/s : Rezeki manusia adalah rahsia Allah. Oleh itu, kita perlu berusaha mencari rezeki melalui pintu dan kunci yang tepat. Antara kunci rezeki itu adalah solat dhuha dan pintunya adalah usaha yang bersungguh-sungguh.