Pages

Monday, 14 January 2013

Mengukur Kekuatan Amerika


Assalamualaikum

Selepas kejatuhan Soviet Union dan Pakatan Warsaw, jelas sekali pihak Amerika mendapati dirinya sebagai satu-satunya kuasa yang mempunyai pengaruh dan mencorakkan warna globalisasi, terutamanya dalam skop ideologi dan hubungan antarabangsa. Walaupun pada suatu ketika China dianggap mungkin berkemampuan untuk setidak-tidaknya mengimbangi kekuatan ketenteraan dan pengaruh geo-strategik Rumah Putih, ia sebenarnya masih jauh ketinggalan dalam serba-serbi dan China sendiri masih lagi seakan tercari-cari arah haluan ideologinya sendiri. Peluang ini digunakan sepenuhnya oleh Amerika dan apabila kejadian 9/11 berlaku, ia seakan memberikan lesen kepada Washington untuk terus memacu pengaruh unipolarnya untuk memaksa negara-negara yang sebelum ini berada 'di atas pagar' atau berkecuali dalam memilih untuk berkiblatkan kepada siapa.

Dengan kekuatan ketenteraan yang jitu, Amerika telah menghidupkan diplomasi 'gunboat' nya (diplomasi menggunakan angkatan ketenteraannya yang terselindung) dan turut menggunakan taktik 'carrot & stick' (diplomasi memberikan bantuan hanya apabila-telunjuknya diikuti oleh negara sasaran) untuk memaksa atau memujuk negara-negara seperti Yaman, Algeria dan Libya yang pada suatu masa dahulu akrab dengan pihak Soviet atau berkecuali untuk menurut haluan polisi luar negara mereka atau setidak-tidaknya mempunyai polisi luar yang tidak bercanggah dengan kepentingan dasar luar Amerika.

Sememangnya kekuatan ketenteraan Amerika telah digunakan secara langsung untuk memaksa semua pihak termasuk PBB bagi menerima pakai agenda mereka untuk menakluk Iraq dan Afghanistan. Walaupun mencanangkan dirinya sebagai pembela demokrasi, hak asasi manusia dan kedamaian di seluruh pelusuk dunia, jentera ketenteraan Amerika seakan memberikan gambaran yang bertentangan. Ini boleh dikaitkan secara langsung jika dilihat kepada jumlah perbelanjaan yang digunakan oleh beberapa negara maju berbanding Amerika bagi bidang pertahanan. Pada 2006, Jepun telah membelanjakan 42 bilion USD bagi tujuan pertahanan. Itali sebanyak 28 bilion, manakala Rusia yang satu masa dahulu merupakan seteru utama Amerika ketika Perang Dingin hanya membelanjakan 14 bilion USD. Percaya atau tidak, dalam tempoh jangkamasa sama Amerika telah membelanjakan 455 bilion USD bagi tujuan membangunkan jentera ketenteraanya!

Dari segi jumlah kereta kebal, ia mempunyai 8,000 kereta kebal utama Abrams atau M1A1, jumlah yang paling banyak di dunia bagi sebuah angkatan tentera darat sebuah negara. Ia juga mempunyai 10,000 kepala peledak berkuasa nuklear, cukup untuk mengakibatkan kemusnahan kepada muka bumi sekiranya  semua diletupkan. Kekuatan keanggotaan pasukan tenteranya adalah seramai 1.55 juta anggota dengan 225,000 adalah merupakan pegawai. Ini bermakna bagi setiap lima anggota, wujud seorang pegawai. Terdapat 40,000 pegawai berpangkat Kolonel dan 870 pegawai berpangkat jeneral. Bagi konflik di Iraq, mereka mempunyai 139,000 anggota yang berkhidmat di negara tersebut. Di atas kertas jumlah ini sememangnya sesuatu yang amat dikagumi, namun di padang pasir dan di bandar-bandar Iraq seperti Baghdad dan Basra atau di celah-celah gunung di Kapisa dan Helmand di Afghanistan, kekuatan yang sedemikian menakjubkan seakan sukar untuk menghapuskan sekumpulan penentang yang amat kecil kekuatan dan jumlah fizikalnya, apa lagi kumpulan gerila ketiadaan langsung pesawat udara atau peluru berpandu pemusnah besar-besaran.

Mungkin jawapan bagi persoalan ini dapat diperjelaskan sekiranya kita memahami mengenai teori 'generasi peperangan' yang hari ini kerap diketengahkan oleh pemikir-pemikir ketenteraan dunia. Ianya adalah teori yang cuba memberikan satu penerangan yang holistik tetapi mudah bagi mengaitkan jenis atau kategori konflik antara dua pihak sejak berlakunya peperangan bersenjata pada era yang menyaksikan penggunaan senjata api secara meluas di medan tempur.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih lepak kejap kat sini
Sila Tinggalkan komen, Insha Allah saya reply.
Kalau korang suka klik 'like' ja