Assalamualaikum.
Korang perasan tak terdapat beberapa penulisan tentang kemurahan rezeki daripada Allah dalam blog ini (kalau korang setia membaca coretan saya yang lain-lain lah~hehe). Sebenarnya, apa yang saya alami memang banyak. Bukan setakat nilai wang yang Allah bagi, ada banyak lagi kemudahan urusan di dunia ini Allah pinjam nikmat-Nya kepada saya. Misalnya, dipermudahkan segala urusan saya, ramai kawan-kawan, kebahagian keluarga, kesihatan dan sebagainya. Itu merupakan nilai rezeki yang Allah bagi yang saya sangat syukuri. Terima kasih Allah :)
Nikmat itu sukar dijelaskan, ia hanya dapat dizahirkan melalui kesyukuran kepada Allah.
Berkenaan dengan sedekah saya hanya bernilai RM1.00, Allah telah gandakan menjadi RM3500. Nilai ini cukup besar kepada saya. Pada ketika itu saya kekurangan duit untuk menampung perbelanjaan saya di Universiti. Tambahan lagi, saya perlukan duit untuk membayar kerosakan laptop saya di kedai. Mengharapkan fama (mama & bapa), tak mungkin lah saya menyusahkan mereka lagi, sebab saya baru sahaja meminta duit daripada mereka. Niat hati untuk meminjam sedikit wang daripada kawan-kawan. Namun, saya pendamkan. Tidak ingin menyusahkan kawan-kawan yang juga kesempitan duit.
Sebelum hari kejadian, saya seperti biasa bangun menunaikan solat sunat Tahajjud walaupun tidak setiap malam saya tunaikannya. Setelah sinar matahari terbit saya ke cafe pada jam 7.15 untuk bersarapan. Jarang saya bersarapan di cafe, itupun pada hari tersebut saya teringin makan nasi lemak mak cik cafe. Masa makan tu, saya sempat memerhati mak cik cleaner yang baru tiba datang kerja bersama dengan anak lelakinya. Saya kira budak lelaki itu berumur 4 tahun. Setiap hari dia membawa anaknya bersama. Mungkin tiada sesiapa yang menjaga anaknya di rumah. Sebab itulah dia membawanya. Tidak lama kemudian, anak mak cik cleaner itu merengek meminta duit untuk membeli makanan di cafe daripada maknya. Tetapi, maknya beritahu tidak mempunyai duit untuk membeli makanan. Saya bersimpati. Saya memberhentikan suapan ke dalam mulut. Di tangan saya hanya ada RM1.00 baki daripada nasi lemak dan air mineral yang saya beli.
Saya melihat duit seringgit di tangan saya dan berfikir "kesiannya dengan budak itu, mesti dia lapar dan teringin nak makan. Tapi, duit dengan saya ada seringgit ja..apa yang dia dapat setakat seringgit?". Kemudian, saya cepat-cepat habiskan sisa makanan saya dan saya berdiri membuang bekas makanan ke dalam tong sampah. Saya datang ke arah budak tu sambil senyum dan mulakan perbualan "kenapa dik menangis ne?". Budak lelaki tu hanya memandang dengan mata berair. Mesti dia fikir kenapa kakak ne tetiba tanya pulak.~haha.. Kemudian, saya menghulurkan duit RM1.00 kepada dia. Dia mengambilnya dan terus berlari dekat dengan maknya. Saya terus jalan dan duduk semula di tempat duduk saya tadi.
Budak tu terus cakap "mak, saya ada seringgit" dengan nada yang gembira. Mak dia tanya,"dapat daripada sapa?". Budak tu menjawab "tuuuu..". Mungkin dia menunjuk ke arah saya. Tetapi, saya tak melihat ke arah mereka. *malu. (saya ne pemalu orangnya..~haha.). Tak lama kemudian, saya melihat mereka membeli makanan. Budak tu dengan muka yang ceria memilih makanan yang terhidang di depan mata. Melihat keadaan itu, saya teringat waktu kecil saya. Nilai RM1.00 terlalu besar kepada saya. Apabila atuk bagi seringgit, saya merasakan seringgit itu seperti RM50.00. Dah boleh beli banyak gula-gula dan keropok. Dulu atuk saya sering bagi cucu-cucunya seringgit setelah menolongnya mengangkat dan menyusun barangan runcit. Duit RM1.00 dulu adalah syiling emas. Korang masih ingat tak budak-budak yang lahir baya saya?..hihi. saya lahir tahun 89. Mesti tau kan. Nostalgia tau duit tu. Macam rugi tak simpan jadi kenangan. Sekarang duit emas syiling seringgit tu tidak digunakan dah dan diganti dalam bentuk wang kertas.
Berbalik kepada cerita tadi. Saya faham perasaan budak tu setelah dapat duit. Sebab saya pun pernah mengalami perasaan yang sama.:). Kemudian, saya jalan meninggalkan cafe balik ke hostel. Dalam perjalanan saya sempat berdoa semoga Allah menerima sedekah saya kepada budak itu. Saya jalan dengan perasaan yang sukar saya ungkapkan, sebab dah tolong seorang budak yang kelaparan. Setelah menjalani rutin seharian saya di universiti, saya dapat mesej daripada kawan saya yang mengatakan duit biasiswa untuk semester ne dah masuk. Waktu tu saya tak tahu nak cakap apa. Saya rasa gembira sangat. Sepatutnya duit biasiswa tu masuk hujung bulan, tapi sekarang baru awal bulan. Rasa bersyukur sangat. Sebab saya dah tak ada duit nak bayar kerosakan laptop di kedai. Tambahan lagi, laptop tu saya perlu guna untuk membuat tugasan. Saya menangis dan bersyukur kepada Allah atas nikmat yang tak di sangka-sangka. Mungkin, nilai sedekah yang saya bagi kat budak tu. Terima kasih Ya Allah dengar rintihan hati saya di saat saya sangat memerlukan.
Kejadian dan cerita ini memang berlaku dalam hidup saya. Walaupun, korang dalam kesempitan jangan sukar untuk menghulur. Kerana setiap huluran dan sedekah kita pada waktu kita dalam kesusahan pasti Allah ganti dengan yang lain. Allah tak pernah membebankan hamba-hamba-Nya melainkan Allah akan memberi nikmat yang kita tak sedari. Di saat kita membantu orang susah dalam keadaan kita senang adalah perkara biasa tetapi menolong orang miskin saat kita dalam keadaan susah adalah suatu perkara luar biasa.
__________________________________________________________________
#Nukilan ini di atas niat untuk mengajak korang ke arah kebaikan dan mengambil pengajaran. Kita hidup di dunia ini tak lama, hanya sebentar sahaja. Oleh itu, isikan lah sisa-sisa kehidupan kita dengan amal-amal kebaikan walaupun tak gah di mata manusia tetapi gah di mata Allah. :)

.jpg)

No comments:
Post a Comment
Terima Kasih lepak kejap kat sini
Sila Tinggalkan komen, Insha Allah saya reply.
Kalau korang suka klik 'like' ja